Saturday, April 18, 2009


Span berisi paku dan besi tajam yang diubahsuai kini
menjadi 'perangkap' sindiket perancang kemalangan dengan niat meraih
keuntungan atau 'longkai' selain menuang minyak bagi memerangkap mangsa di jalan raya.

Taktik berkenaan antara dikesan melalui kajian yang dijalankan selama
sembilan tahun oleh sekumpulan penyelidik dan aktivis keselamatan bebas
di negara ini.

Jurucakapnya, K. Balasupramaniam berkata, 'longkai' berkenaan biasanya
meletakkan 'perangkap' di kawasan yang jauh daripada pengawasan pihak
berkuasa.

"Jika dilihat dengan mata kasar ia tidak berbahaya kerana kita hanya
nampak span, tetapi kalau dilanggar, tayar boleh pancit dan berlaku
kemalangan,'' kata beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bomba dan Penyelamat
Sukarela Malaysia kepada KOSMO! semalam.

Jelas Balasupramaniam, pengubahsuaian dilakukan bertujuan untuk
mendapatkan impak yang besar selepas kemalangan berlaku dan akhirnya memerlukan
bantuan daripada 'longkai' untuk dibawa ke bengkel yang didakwa bersubahat
dengan mereka.

"Kadangkala pengguna tidak sedar, perbuatan seperti ini boleh membawa
maut kepada pemandu terutamanya penunggang motosikal dan kereta yang
dipandu laju. "Apa yang lebih merisaukan, kebanyakan 'barang' tersebut diletakkan di
kawasan berisiko kemalangan seperti di selekoh tajam dan di lorong kanan jalan,'' ujarnya.

Antara jalan yang popular dijadikan lokasi kemalangan ialah susur
keluar lebuh raya termasuk di sekitar Puchong dan jalan persekutuan di
sekitar Sungai Buloh dan Kuala Selangor.

Mereka juga katanya, melakukan perbuatan itu jauh dari lokasi yang
mempunyai kamera dan plaza tol bagi mengelak dikesan.
Jelasnya lagi, walaupun masalah tersebut pernah dipanjangkan ke Majlis
Keselamatan Jalan Raya
, namun tiada sebarang tindakan diambil untuk
menyelesaikannya kerana tiada bukti dan laporan daripada mangsa
sendiri.

Pihak berkuasa juga katanya, tidak dapat mendakwa 'longkai' ini kerana
tiada undang-undang yang digubal khas untuk menghalang kegiatan
mereka. "Apa yang boleh dibuat ialah keseda- ran sivik pengguna sendiri untuk
terus berhati-hati dan mengkaji setiap permasalahan yang berlaku di samping
tidak terpedaya dengan janji-janji manis 'longkai','' jelasnya.

1 Comment:

  1. tradeink said...
    it's nice to meet you

Post a Comment