Monday, January 26, 2009

* sekadar renungan bersama... hargailah ibu sementara mereka masih ada...

Akibat menyakiti hati ibu
Jenazah terbiar lama

SETIAP kali ke selatan tanah air, saya sukar melupakan suatu peristiwa yang berlaku semasa saya berkhidmat di sanakira-kira 20 tahun lalu.

Saya masih ingat, bulan Mac 1980, kira-kira pukul 10.30 malam, saya mendapat panggilan telefon mengatakan ada kematian di kawasan perumahan berhampiran tempat kediaman saya.


Memandangkan malam sudah hampir larut, saya menangguhkan niat menziarah
Allahyarham. Saya mengambil keputusan menunggu sehingga esok pagi.
Saya tidak begitu mengenali Allahyarham.

Apa yang diberitahu beliau seorang wanita yang masih muda dan belum berumahtangga. Bagaimanapun saya memang kenal baik dengan ibunya. Orangnya baik dan lemah lembut, senang dibawa berbincang malah tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.

Keesokannya, kira-kira pukul 8.00 pagi saya pun bergegas ke rumah
Allahyarham. Niat hati hanya untuk berziarah saja kerana kebetulan waktu
itu saya sedang hamil. Lagipun di situ terdapat seorang pengurus jenazah
yang memang saya kenali.

Sebaik tiba di sanaorang ramai telah memenuhi ruang tamu.Segala persiapan
telah di-buat. Kain kapan, kemenyan, kapur barus dan sebagainya siap
sedia di sisi jenazah. Saya lihat semua tetamu sedang khusyuk membaca surah Yasin. Hati saya tertanya-tanya di mana pengurus jenazah? Dia tidak kelihatan, sedangkan
rumahnya hanya selang beberapa pintu dari rumah Allahyarham.

Masa terus berlalu, pengurus jenazah yang bernama Mak Siti itu tidak
muncul-muncul. Jam di dinding menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.
Hati mula tertanya-tanya, siapa akan menguruskan jenazah ini? Kesian...
Sudah lebih 12 jam jenazah terbiar. Saya menghampiri ibu Allahyarham.
"Mak cik, mana Mak Siti? Hari dah tinggi. Dia tak sampai lagi?" saya bertanya.
"Entahlah ustazah, mak cik telefon dia tadi. Katanya dia datang lewat
sikit, ada hal mustahak," kata ibu Allahyarham separuh kesal.
"Jenazah tak elok dibiarkan lama-lama. Saya bukan tak nak tolong tapi mak
cik tengoklah keadaan saya ni..." kata saya kepadanya sambil menunjuk ke
arah perut.
"Tak apa ustazah, makcik faham. Mak cik akan cuba minta tolong orang
kampung sebelah," jawab ibu Allahyarham lagi.

Salah seorang waris keluarga itu terus ke kampung sebelah, meminta
pertolongan. Lebih kurang setengah jam kemudian dia muncul kembali.
"Macam mana? Ada tak orangnya?" tanya ibu Allahyarham.
"Tak ada. Dia ke Kuala Lumpur semalam... ke rumah anaknya," kata lelaki
itu.
"Macam mana ni ustazah?" katanya kepada saya dengan wajah sedih. Lantas
dia memeluk saya sambil menahan sedu.
"Bersabar mak cik. Semua yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya.
Kita tunggulah Mak Siti, kalau tak ada juga baru kita cari ikhtiar lain," kata
saya cuba mententeramkannya.

Kami mengambil keputusan menunggu saja kedatangan Mak Siti. Hari semakin
petang. Jarum jam terus berputar daripada pukul 1.00 ke pukul 2.00 dan
akhirnya mencecah 3.00.

Seorang demi seorang yang berada di ruang tamu meninggalkan rumah
Allahyarham. Semakin lama semakin ramai yang meminta diri untuk pulang.
Melihat keadaan yang semakin lengang, ibu Allahyarham kelihatan serba tak
kena. Tentulah dia sedih memikirkan tiada siapa untuk menguruskan jenazah
anak kesayangannya.
"Macam mana ni ustazah, jam dah hampir 4.00 petang. Bayang Mak Siti pun
tak nampak," rintih ibu Allahyarham sambil air matanya berlinangan.
"Kesian saya tengok mak cik. Tak ada siapa yang nak uruskan. Macam nilah
mak cik... saya bukanlah nak ambil tahu hal keluarga mak cik, tapi ada
tak apa-apa kelakuan Allahyarham yang mengecilkan hati mak cik?" tanya saya
spontan. Sebenarnya saya sendiri tak tahu bagaimana saya dapat
mengeluarkan perkataan demikian pada waktu itu.

"Kenapa ustazah tanya macam ni?" katanya agak terperanjat.
"Tak ada apa-apa. Cuma... kalau ada perilaku Allahyarham semasa hayatnya
membuat mak cik kecil hati, maafkan ajalah dia. Mungkin Itu akan dapat
meringankan bebannya," kata saya bersungguh-sungguh.
Mendengar kata-kata itu, ibu Allahyarham terus menangis teresak-esak
lantas memeluk saya. Saya tergamam seketika. Mulut saya terkunci.
"Memang mak cik merasa kecil hati dengannya. Dia tu suka melawan, sepatah
yang mak cik cakap, sepuluh dia balas. Puas adik-beradik nasihatkan dia.
Tapi dia tetap macam tu. "Lagipun dia ni degil, tak pernah langsung mendengar nasihat mak cik. Apa yang mak cik cakap semuanya dibangkang," katanya dengan linangan air mata.

Menurut ibu Allahyarham lagi, walaupun demikian anaknya amat bersopan
santun dan mesra dengan orang lain. Tidak pernah dia meninggikan suara
jika berbual dengan sahabat atau saudara-mara.
"Dengan mak cik saja dia begitu.. Itu yang mak cik kecil hati. Kadangkala
mak cik terfikir di mana silap mak cik," tambahnya dalam esak tangis.
Malah kata ibu Allahyarham, anaknya seorang yang taat kepada suruhan
Allah. Segala amal ibadat sama ada yang wajib atau sunat tidak pernah
ditinggalkan. "Sampai sekarang mak cik kecil hati dengan dia. Sebab ni ke, tak ada
orang nak sempurnakan jenazahnya, ustazah?" tanya ibu Allahyarham sambil
mengesat mata.

"Yang sudah tu sudahlah. Sekarang mak cik maafkanlah segala kesalahan dan
kesilapan itu. Insya-Allah segalanya akan berjalan lancar dan jenazahnya
akan disempurnakan dengan cepat," kata saya lagi. Sebaik saja saya
berkata demikian, ibu Allahyarham terus mengangkat tangan berdoa sambil berkata,
"Ya Allah, ya Tuhanku. Aku ampunkan segala kesalahan, kesilapan dan dosa
anakku ini. Lapangkanlah anakku dari segala seksaan." Dia kemudian terus
membuka kain penutup jenazah. Ditenung wajah anaknya agak lama.
Lebih kurang limaminit kemudian, tiba-tiba terdengar suara Mak Siti
memberi salam di muka pintu.
''Maaflahhhh, terlambat. Saya ke pekan, ada hal sikit tadi. Tak sangka
pula susah benar dapat teksi, tak macam selalu," kata Mak Siti sambil
bersalaman dengan tetamu-tetamu yang ada. Saya pandang wajah ibu Allahyarham. Jauh
di sudut hati, saya berbisik: "Alangkah besarnya keagunganMu, ya Allah. Enam
belas jam jenazah terbiar tetapi selepas dosanya diampunkan ibu, mudah
saja Allah lorongkan kebaikan."

Memandangkan semua sudah tersedia, Mak Siti terus memulakan tugasnya.
Saya juga turut membantu serba sedikit. Tidak sampai satu jam, segala-galanya
daripada mandi, kapan dan sembahyang jenazah siap disempurnakan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran
selepas azan Asar pada hari itu juga.

0 Comments:

Post a Comment