Sunday, March 15, 2009

TALI GANTUNG

Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis
jut yang paling
bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak
mencederakan
kulit banduan yang akan digantung.

Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga
RM5,000.

Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen
pembekalnya akan
diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung
seberat lebih 90
kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia
diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam
peti besi.

"Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya.
Kita tak boleh poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena
ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat
banduan," jelas Samuel.

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang
berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi
hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok
Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian
di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan
pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun
sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan
Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga
ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan
hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan,
nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu
di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

"Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk
banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman
gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan
Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza,"
kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa
berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang
pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

"Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia
dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu
keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),"
kata Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini,
kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal
sudah menunggu di luar penjara untuk "perjumpaan terakhir."

Lazimnya suasana sedih dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan
terakhir ini.

Banduan juga diberi pilihan untuk "hidangan terakhir"
bernilai RM7.50.

HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang
menjalani hukuman gantung "poie dengan rela" setelah menunggu begitu
lamo untuk hukuman dilaksanakan.

"Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama,
menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja
yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

" Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka
lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila
kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang
salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak
tahan lagi menunggu," katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta
pena dan kertas untuk nota terakhir.

"Jangan ikut tabiat buruk ayah" antara kata-kata terakhir seorang
banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak
dipakainya pada hari hukuman.

" Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T
dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher.
Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu
kata dengan jenaka," cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua
pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan
banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara
automatik renggang sepenuhnya bila "gear" ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong
dengan ketinggian 5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya
memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan
dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah
memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik "gear" yang akan
antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira
15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut
Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit
dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas
setengah jam dibiar tergantung.

"Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya
supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita
hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

"Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka
jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang
diberi oleh bos- bos saya dulu," kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan
kepada Samuel.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada
anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus
melakukan jenayah.

"Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga
tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam
keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas," katanya sambil
menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan
dengan dadah.

0 Comments:

Post a Comment