Saturday, December 6, 2008


4 maut, 14 banglo tertimbus di Ampang

KUALA LUMPUR: 8 orang dikuatiri maut apabila 14 banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh paling dahsyat di Jalan Bukit Mewah dan Jalan Mewah Utama di Bukit Antarabangsa, Ampang, kira-kira jam 4 pagi tadi.

TRAGEDI...pemandangan dari udara menunjukkan kemusnahan yang berlaku di Bukit Antarabangsa yang membabitkan runtuhan di dua kawasan perumahan dengan sekurang-kurangnya 14 banglo tertimbus dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi tadi.

Dua beranak yang maut ditemui di bawah runtuhan salah satu daripada 14 banglo yang tertimbus di Bukit Antarabangsa di sini setakat jam 8 pagi tadi.

Ibu dan anaknya itu adalah antara 8 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh kira-kira jam 4 pagi tadi.

Sementara itu, 15 lagi penghuni dilaporkan cedera, manakala 93 lagi terselamat.

Pasukan mencari dan menyelamat giat melakukan usaha-usaha mencari mangsa yang masih hilang dipercayai tertimbus di kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa menggunakan jentera berat.

Sementara itu, seorang penduduk warga emas yang tinggal di Kondominium Impian Selatan yang terperangkap akibat kejadian itu berjaya dikeluarkan menggunakan helikopter pada pukul 5.30 petang.

Mulai jam 5 petang ini, pasukan penyelamat akan menggunakan jentera jengkaut sepenuhnya dalam usaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di celah runtuhan banglo di Bukit Antarabangsa di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata arahan itu dikeluarkan selepas 12 jam kejadian berlaku bagi menyelamatkan mangsa yang masih bernyawa.

Bagaimanapun, katanya usaha menyelamat menggunakan jentera itu akan dilakukan secara berhati-hati dengan mewujudkan pasukan pemantau. Beliau juga berkata, usaha juga sedang dibuat untuk membina dua laluan alternatif bagi membolehkan lebih 5,000 penghuni sekitar runtuhan untuk meninggalkan kediaman masing-masing

Bomba dan Penyelamat percaya tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang, dipercayai berpunca daripada pergerakan air dalam tanah.

Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

0 Comments:

Post a Comment