Sunday, December 14, 2008



Dana untuk pelaburan jamin kelangsungan pendapatan apabila minyak habis: Najib

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak berkata Kabinet secara prinsipnya sudah meluluskan cadangan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), dengan dana permulaan RM10 bilion untuk melabur di dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan dana yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu menjamin kelangsungan pendapatan Terengganu terutama apabila minyak sudah habis.

Katanya, Kabinet akan memperhalusi lagi struktur pentadbiran dan perjalanan TIA bila kertas cadangan dana itu siap. "Pada prinsipnya, cadangan ini diluluskan jemaah menteri pada mesyuarat semalam (kelmarin)," katanya selepas majlis penyerahan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008 di Stadium Negeri di sini semalam. Pada majlis itu, Najib yang juga Menteri Kewangan menyerahkan cek bayaran royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz. Sementara itu, ketika berucap pada majlis jamuan rakyat di Masjid Tengku Intan Zaharah di sini, Najib berkata, penyerahan wang royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu bakal menyaksikan pelbagai lagi pelaksanaan pembangunan dijalankan di negeri itu. Katanya, kerajaan negeri boleh menambah lagi pembangunan modal insan, fizikal dan aspek kerohanian di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). "Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu dengan menyerahkan wang royalti kepada kerajaan negeri sebanyak RM408.6 juta. "Dengan itu, Kerajaan Terengganu sudah cukup pitih (duit) untuk melaksanakan pelbagai pembangunan yang dirancang selama ini," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Kabinet juga memutuskan pemberian wang ehsan akan dihentikan kerana Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti. Katanya, selepas ini pembayaran royalti yang akan dibuat setiap suku tahunan akan disalurkan terus ke dalam akaun kerajaan negeri bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat negeri itu. Najib berkata, hasil minyak perlu diguna untuk meningkatkan keupayaan produktif negeri hingga membawa kepada percambahan kegiatan ekonomi dan pendapatan perkapita rakyat kerana minyak tidak kekal selamanya.

0 Comments:

Post a Comment