Monday, December 8, 2008


10 maut tersepit bawah bas

18 cedera kenderaan bawa 26 penumpang terbabas, terbalik di Muar

Sepuluh orang termasuk seorang doktor dari Hong Kong maut, manakala 18 yang lain cedera selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Kilometer (KM) 146.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Tangkak, di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Sehingga malam tadi, identiti lapan daripada yang terbunuh akibat tersepit di bawah bas dalam nahas ngeri itu termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun, sudah dikenal pasti dan dituntut waris masing-masing, manakala dua mayat lagi masih dalam proses pengecaman.

Tujuh mangsa yang dikenal pasti berasal dari Pantai Remis, Perak iaitu lima wanita, seorang kanak-kanak perempuan serta dua lelaki, termasuk seorang daripadanya doktor warga Hong Kong.

Ketika kejadian, sebahagian besar penumpang bas ekspres itu sedang tidur dan hanya terjaga selepas terkejut apabila bas berkenaan terhuyung-hayang lalu terbabas sebelum melanggar pokok lalu terbalik.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli, berkata tujuh daripada mangsa maut di tempat kejadian, seorang dalam perjalanan ke hospital, manakala dua lagi disahkan mati di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

14 daripada mangsa yang cedera berusia antara 11 hingga 40 tahun termasuk dua pemandu bas berkenaan, masih menerima rawatan di HPSF dengan ada di antaranya berada dalam keadaan kritikal, manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.

"Bas ekspres yang membawa 26 penumpang itu bertolak dari Pantai Remis, Perak pada jam 7 petang semalam (kelmarin) menuju ke Singapura.

"Tiba di KM 146.5, polis difahamkan bas berkenaan tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di tepi lebuh raya lalu terbalik serta terseret menyebabkan bahagian bumbungnya tercabut.

"Pemandu bas berkenaan yang berumur 38 tahun dan pemandu keduanya berumur 26 tahun bagaimanapun terselamat dan hanya cedera ringan," katanya.

Mohammad Nasir berkata, hasil siasatan awal, polis mendapati bas berkenaan mempunyai beberapa saman lalu lintas tetapi tidak memiliki waran tangkap.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kedua-dua pemandu bas itu berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kejadian dan polis akan menahan mereka sebaik saja mereka dibenarkan keluar hospital nanti, bagi membantu siasatan.

"Saya merayu orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9521301 untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kami," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu ialah nahas jalan raya yang pertama meragut 10 nyawa di daerah ini dan beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama apabila memandu pada waktu malam.

0 Comments:

Post a Comment