Thursday, November 27, 2008

Rungutan hanya berkaitan prosedur

IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam menegaskan tidak ada perbezaan pendapat pada peringkat negeri berhubung keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan senaman yoga.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz, berkata rungutan pelbagai pihak mengenai fatwa itu bukan bermakna ada perbezaan pendapat, tetapi lebih kepada prosedur pelaksanaannya di bawah enakmen setiap negeri.


Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Fatwa di setiap negeri mengadakan mesyuarat bagi membincangkan keputusan pengharaman senaman yoga sebelum mendapat perkenan Sultan dan diwartakan.


"Kita dapati bukan terdapat perbezaan pandangan, tetapi bagaimana fatwa itu dilaksanakan.

"Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa negeri perlu bermesyuarat terlebih dulu sebelum dipersembah kepada Sultan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri di sini.

Sabtu lalu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan keputusan fatwa mengharamkan senaman yoga kepada umat Islam kerana satu daripada prosesnya turut membabitkan bacaan mantera.

Wan Mohamad berkata, Jakim bertanggungjawab menyelaraskan semua fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa setiap negeri, termasuk mengenai pengharaman senaman yoga.

Mengenai bantahan Hindu Sangam Malaysia mengenai penggunaan perkataan 'haram', beliau berkata, fatwa itu hanya tertakluk kepada orang Islam dan penganut agama lain perlu melihat Islam secara menyeluruh.

Sementara itu, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menitahkan Jawatankuasa Fatwa Perak mempertimbangkan secara terperinci mengenai aktiviti senaman yoga di negeri itu.

Raja Dr Nazrin yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bertitah, sebarang keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri itu kemudian hendaklah dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Samsul Baharin Hassan semalam, Raja Dr Nazrin bertitah lebih teratur jika sesuatu fatwa membabitkan orang ramai dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dulu kerana hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja.

"Ia selaras dengan prosedur Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 berkaitan dengan menerima pakai sesuatu fatwa," titah baginda.

Kelmarin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga mahu Majlis Fatwa Kebangsaan merujuk sebarang keputusan kepada Majlis Raja-raja untuk mendapat perkenan sebelum diumumkan kepada orang ramai.

0 Comments:

Post a Comment